Bangun pagi di hari raya kedua nie membangkitkan semangat aku untuk menghupdate belog walaupun sudah lama ditinggalkan dunia belog ini. Menulis pon sudah tidak berapa mengerti dan rasa canggung. Jadi untuk permulaan ini aku hanya akan membaca hasil penulisan rakan-rakan lain untuk menambah daya ingatan untuk ku menulis. Tiba-tiba singgah di sebuah laman web kesukaan dan terjumpa artikel ini. Alhamdulillah, apa yang dikatakan amatlah benar. Bercinta dan berkahwinlah kerana ALLAH. Mungkin agak susah untuk ditafsirkan, tapi mari kita singkap kisah hidup kita mengenai cinta yang selama ini amat melalaikan.
“Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu…
macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?” Menarik juga
persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin
berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup
menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari, di mana seluruh
dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya
pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari
Kasih Sayang atau tidak… isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.
Persoalan
cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa ‘dicemari’ nafsu adalah
konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin
sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau
merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering tersilap
menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat
‘kerana Allah’ dan ‘kerana nafsu’ dalam proses membuat keputusan untuk
bernikah, sama ada ‘cinta sebelum nikah’ atau ‘cinta selepas nikah’
begitu kabur kerana ia adalah ‘soal hati’ yang sukar dijangkau akal
biasa dan mata lahir.
Rumahtangga, rumah dan bilik air
Istilah
‘rumahtangga’ menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya.
Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa
manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung,
walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna.
Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat
istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.
Dalam rumah
terdapat beberapa… bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik
bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau
tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah
rumah. Bilik air mungkin tidak ‘popular’ dan bukan pilihan utama untuk
dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah
dan tidak selesa tanpa ‘mengunjunginya’. Kelegaan yang dirasa selepas
qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang
digemari dalam rumah tersebut.
Antara membina rumah dan membina bina bilik air
Saya
suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk
menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat ‘kerana Allah’ atau
‘kerana nafsu’. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada
tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup
dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga
yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang
tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik
air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan.
Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara
kahwin ‘kerana Allah’ dengan ‘kerana nafsu’.
Jika bilik air
sebagai niat utama, ini ibarat kahwin ‘kerana nafsu’. Jika demikian maka
pembinaan ‘rumah’ itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya,
jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua
bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin ‘kerana Allah’.
Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada
keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini
lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi,
manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi
dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan
bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia
mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh.
Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam
proses memilih pasangan.
Misi dan Visi Perkahwinan
Ikatan
perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka
semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu
sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras
dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan
adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai ‘team work’ melaksanakan
misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas
yang paling kukuh dan niat yang paling murni ‘kerana Allah’. Ini
bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul
pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan,
rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat
penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami,
isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah
anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya.
Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di
bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat
diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia
terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan
melalui akad ijab dan kabul. Persepsi ‘nafsu’ dalam kefahaman
kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu
berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang
dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah
sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual
meyandang label jijik, kotor dan hina.
Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya
Niat
‘kerana Allah’ dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan
merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap
peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih
pasangan untuk membentuk ‘team work’ rumahtangga, patuhi segala suruhan
dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah
keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang
lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah
tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi
manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.
Pencemaran dalam niat
Niat
‘kerana nafsu’ digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah
semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar,
niat ‘menghalalkan’ hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih
sayang secara lahiriah kelihatan begitu ‘murni’. Ya, sememangnya ini
tidak salah… namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah
bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun,
sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.
Rumahtangga
begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur
begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan.
Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan
pergaduhan dan konflik. Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini
tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk
memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi.
Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di
dunia lagi. Na’uzubillah!.
Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah
Ekpresi
cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam
kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum
syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum
Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu
dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah… inilah gambaran niat
semata-mata ‘kerana nafsu’. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar
Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.
Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu
“Allah
fahamm… kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun…”
demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama
Allah.
Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga
terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh
nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.
Destinasi akhir ekspresi cinta
Stesen terakhir cinta
kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di
akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka
yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi
selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk
manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada
risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya.
Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih
sayang… Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita
menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.
p/s alhamdulillah, menanti detik bahagia destinasi akhir ekspresi cinta ALLAH.
No comments:
Post a Comment