Cantik Di Hati


Jangan kita terikat dengan dunia
semuanya hanya pinjaman semata-mata,
belajarlah untuk melepaskan segalanya
agar bila tiba masanya kita tidak akan gundah gulana"


Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah s.w.t
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu akan membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.

Friday, August 9, 2013

Mahar Hantaran : Adat vs Ibadat

 Assalammualaikum w.t.b 

Mendapat panggilan telefon dari kampung terchenta oleh mak dan mak cik tersayang. Semua ahli keluarga sibuk bertanyakan perihal si dia yang bakal menjadi peneman hidup. Aku dah rasa gembira cuma rasa risau dengan penglibatan ramai orang ini. Nanti jadi kelam kabut jadinya nanti. Mudah-mudahan Allah s.w.t permudahkan perjalanan kami. Risau tentang hantaran yang akan dikenakan kepada pihak lelaki kerana aku juga akan turut susah andai terlalu tinggi. Kenapa susah? Ehh, mari dengar semua yea..

“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan rumahtangga..


“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10” Ayat-ayat yang biasa didengar.

Tergaman dibuatnya.

Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang membimbangkan.

Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.

Hikmahnya ditinggalkan.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.

Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan kukuh.

JANGAN ADATKAN IBADAT

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)

Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.

Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.

Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.


Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri, dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya.


Mahar bukan harga jualan.

Jangan adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada ternampak warga ‘terlajak’ umur antara lingkungan 40-45 tahun yang menolak stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya kerana menunggu lama simpanan penuh sebelum dapat kahwin.

TERBITNYA MASALAH LAIN

Sebenarnya masalah couple atau maksiat hati, mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah ini terbit dari masalah yang lain.

Apabila budaya kita yang mempersulitkan bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin yang mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple dahulu.

Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa perlu bercouple.

Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks sebelum perkahwinan adalah satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah, sesuatu yang janggal sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh belas tahun. Mereka lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum berkahwin supaya tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin nanti.

Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun sekarang tidak jauh bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki dan perempuan. Tidak mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.

Tugas berat ini terletak di bahu kita sekarang sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian kita, tempat kerja untuk mengubah suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah kemuliaan mukmin yang mendamba sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan hantaran mahal tidak akan menjadi musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti di atas.

Bercinta dan Berkahwin Kerana ALLAH

Bangun pagi di hari raya kedua nie membangkitkan semangat aku untuk menghupdate belog walaupun sudah lama ditinggalkan dunia belog ini. Menulis pon sudah tidak berapa mengerti dan rasa canggung. Jadi untuk permulaan ini aku hanya akan membaca hasil penulisan rakan-rakan lain untuk menambah daya ingatan untuk ku menulis. Tiba-tiba singgah di sebuah laman web kesukaan dan terjumpa artikel ini. Alhamdulillah, apa yang dikatakan amatlah benar. Bercinta dan berkahwinlah kerana ALLAH. Mungkin agak susah untuk ditafsirkan, tapi mari kita singkap kisah hidup kita mengenai cinta yang selama ini amat melalaikan. 


“Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu… macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?”  Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari, di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak… isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa ‘dicemari’ nafsu adalah konsep ideal,  indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian.  Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat ‘kerana Allah’ dan ‘kerana nafsu’ dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada ‘cinta sebelum nikah’ atau ‘cinta selepas nikah’ begitu kabur kerana ia adalah ‘soal hati’ yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.

Rumahtangga, rumah dan bilik air

Istilah ‘rumahtangga’ menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun  rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat  istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.  
Dalam rumah terdapat beberapa… bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak ‘popular’ dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa ‘mengunjunginya’. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

Antara membina rumah dan membina bina bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat ‘kerana Allah’ atau ‘kerana nafsu’. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin ‘kerana Allah’ dengan ‘kerana nafsu’.

Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin ‘kerana nafsu’. Jika demikian maka pembinaan ‘rumah’ itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin ‘kerana Allah’. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

Misi dan Visi Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai ‘team work’ melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni ‘kerana Allah’. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.

Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.

Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi ‘nafsu’ dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang  dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik,  kotor dan hina.

Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya

Niat ‘kerana Allah’ dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk ‘team work’ rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.

Pencemaran dalam niat

Niat ‘kerana nafsu’ digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat ‘menghalalkan’ hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu ‘murni’. Ya, sememangnya ini tidak salah… namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.

Rumahtangga begini  tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan.  Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik.  Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na’uzubillah!.

Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah

Ekpresi cinta dan  kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah… inilah gambaran niat semata-mata ‘kerana nafsu’. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu

“Allah fahamm… kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun…” demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.
Peluang  taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.

Destinasi akhir ekspresi cinta

Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang… Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.

p/s alhamdulillah, menanti detik bahagia destinasi akhir ekspresi cinta ALLAH. 

Penulis
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...